Wednesday, January 30, 2008

TAZKIRAH SYEIKH NURUDDIN KEPADAKU (bah 1)

Syeikh Nuruddin bersama Alexanderwathern dan Encik Zaini (bapa saudara zaujah Syeikh)



Selasa 15 Januari 2008, pada malamnya kami (saya, isteri dan anak-anak) menziarahi Syeikh Nuruddin al-Banjari yang sedang bercuti untuk bersama-sama isterinya yang masih ‘dalam pantang’. Anak sulung daripada isteri keduanya ini seorang bayi perempuan yang comel, menjadikan jumlah anak-anaknya tujuh orang. Tahniah untuk Tuan Syeikh, semoga mereka juga akan mengikut jejak langkah ibu bapa mereka menjadi orang-orang yang soleh dan bermanfaat kepada umat.

Kami rasa begitu bertuah kerana dapat ‘sembang-sembang santai’ pada malam itu bersama Tuan Syeikh, tidak dalam majlis-majlis formal sebagaimana kuliah-kuliahnya. Pada bulan Disember tahun lalu pun Allah murahkan rezeki saya apabila dapat ‘bersembang-sembang santai’ juga bersama Ustaz Abdol Raof al-Bahanji di bilik istirehatnya. Seronok sembang-sembang begini dengan para ilmuan agama, walaupun suasana ‘relax’ tapi perbualan mereka tetap ‘berisi’.

Ada manusia yang lebih cantik dalam gambar. Ada manusia yang lebih cantik di luar gambar. Ada manusia yang sama cantik di dalam ataupun di luar gambar. Ustaz Nuruddin ini jenis yang cantik di dalam gambar tetapi lebih cantik di luar gambar. Walaupun usianya sudah menghampiri separuh abad namun apabila berhadapan dengannya, kita seolah-olah melihat seorang pemuda dalam lingkungan 30-an.

Kami tidak berhajat untuk ‘berlama-lama’ bersamanya kerana kita sedia maklum kesibukannya sebagai seorang daie- sungguhpun bercuti tapi fikiran tetap memikirkan banyak perkara. Kita yang berdakwah kecil-kecilan ini pun sangat kurang masa untuk berbual-bual kosong, apatah lagi mereka yang mempunyai peranan lebih besar.

Anak-anak buah saya berasa hairan melihat bertapa aktifnya saya dalam dakwah, tapi saya sendiri berasa pelik melihat naqib kepada saya yang lebih aktif daripada saya. Naqib kepada naqib saya lagilah… aktifnya melampau tapi keluarga, ibadah, ilmu, kesihatan, pergaulan dengan masyarakat dan lain-lain tetap lancar.

Anak-anak buah ‘letih’ melihat usaha saya, saya pula letih melihat usaha naqib, lebih letih lagi apabila melihat usaha naqib kepada si naqib. Tak terlawan rasanya orang-orang lama dalam dakwah ini.

Syeikh Nuruddin memiliki kekuatan dakwah yang agak luar biasa. Melihatkan jadualnya ke sana ke mari dalam dan luar negeri, tak sanggup rasanya jika kita berada di tempatnya. Letih perjalanan lagi, letih mentarbiah lagi.

Cuba kita bayangkan para ulama Nusantara zaman dahulu, zaman sebelum majunya jentera kenderaan. Mereka bergerak dengan jubah serban mereka ke Sumatera, Jawa, Kalimantan, Tanah Melayu, Patani, Kemboja, India, Makkah dan lain-lain yang memakan masa bulan dan tahun. Meninggalkan isteri-isteri dan anak-anak sudah menjadi lumrah. Kita hari ini? Kebanyakannya sekadar berbangga akan kisah-kisah silam, tidak pula mahu meneruskan kesinambungan itu.

Setelah bersuai kenal secara ringkas, saya terus saja meminta Syeikh memberikan sedikit kata-kata nasihat berupa tazkirah ringkas dalam lingkungan lima minit sahaja, sebagai ‘buah tangan’ kata saya, membuatkan Syeikh tersenyum.

Tuan Syeikh agak terkejut juga apabila saya menceritakan tentang ‘laman mini’ tentangnya di http://syeikhnuruddin.blogspot.com/ yang baru disiapkan lebih kurang sebulan sebelumnya.

Dalam tazkirahnya, Syeikh menekankan kepentingan ‘qudwah hasanah’ ataupun ‘contoh ikutan yang baik’. Baginya umat Islam masih belum dapat ‘bangun’ kerana sangat kurangnya ‘qudwah hasanah’ termasuklah dalam kalangan mereka yang bergelar ulama sendiri.

Umat Islam sebenarnya kuat. Ilmuan agamanya melimpah-ruah. Lulusan al-Azhar sahaja berapa ribu orang setahun? Berapa banyak pusat-pusat pengajian moden dan tradisional di seluruh dunia? Lepasannya sudah berapa banyak? Yang sedang menuntut pula berapa banyak? Tak terhitung. Jemaah-jemaah Islam pelbagai. Pengikut Tariqat Tijaniah sangat ramai. Pendokong Tariqat Samaniah cukup ramai. Berapa banyak jenis tariqat dan berapa banyak anggotanya? Saangat banyak. Tapi… mengapa Islam masih begini?

Syeikh memandang ‘qudwah hasanah’ dalam kalangan ulama dan pendokong agama Islam sebagai salah satu punca kita masih begini. Beliau mencontohkan adanya sebilangan ilmuan agama yang tidak menjaga akhlak dan adab. Ada yang gagal mendidik ahli keluarganya hinggakan isteri dan anak-anak tidak menutup aurat. Anak murid banyak tetapi guru mengajar sambil menghisap rokok dan kitab pula diletakkan di atas lantai (tidak beradab dengan ilmu).

Situasi di atas menyebabkan orang ramai berada dalam kekeliruan, yang mana satu ‘Islam’ sebenar? Hendak ikut contoh yang inikah ataupun yang manakah? Akhirnya umat Islam keseluruhannya yang rugi.

Bersambung…

2 comments:

aznan said...

assalamualaikum....sy amat tertarik..truskan usaha anda...
sy dah banyak kali cari tentang perkembangan sheikh kita t..klu ada blog cmnie..n slalu da perkembangan saya amat bertrima kasih kepada yang ikhlas dan berusaha kearah kebaikan tersebut dalam memantapkan lagi pegangan akidah kita ahli sunnah wal jamaah...
wassalam.

Lading_Emas said...

Salam Tn, harap dpt diteruskan Usaha yg Murni ini, Moga Allah jua yg mbalasnya dgn sbaik2 balasan ..Amin!